KATA-KATA HIKMAT

Tubuh badan kita adalah amanah yang Allah beri pada kita untuk dijaga sebaik mungkin. Tidak kiralah di mana pun kita berada, prinsip pemakanan sihat perlu sentiasa ada dalam diri. Jadilah seperti makhluk ikan yang diciptakan Allah, tidak berubah rasanya walaupun di lautan masin ataupun di sungai.

Monday, May 5, 2014

6 teka-teki Imam Al-Ghazali wajar jadi panduan

Banyak pengajaran di sebalik jawapan diberikan ulama terkenal

Teka-teki adalah permainan yang sangat menarik. Mengimbau zaman kanak-kanak, kerap kali juga mengajukan soalan teka-teki antara satu sama lain dengan rakan sekelas sehingga ketawa terbahak-bahak.

Ini kerana pelbagai jawapan yang diberi walaupun ada kala tiada kaitan langsung dengan teka-teki itu sangat mencuit hati. Benar kata orang, teka-teki jawapannya ada kala tidak terlintas di benak fikiran dan tidak logik tetapi ketepatannya sesuai dengan soalan.

Kini, teka-teki bukan lagi menjadi permainan atau perkara yang dilakukan pada masa terluang bersama teman, tetapi dijadikan bahan bualan juruhebah di radio bagi menarik perhatian pendengar.

Teka-teki dalam pembelajaran

Manfaatnya begitu meluas sehinggakan sesetengah guru menggunakan pendekatan teka-teki di dalam pembelajaran bagi mengelak pelajar mengantuk atau bosan dengan cara pembelajaran yang sama setiap hari.

Tambahan pula, teka-teki sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan selain dapat meningkatkan kecerdasan minda. Kita akan berusaha sedaya upaya memikirkan apakah jawapan yang tepat dan cuba menjawab dengan pantas. Jawapan teka-teki sedikit rumit dan berputar belit.
Melihat dari perspektif Islam sendiri, ada banyak kebaikan teka-teki dalam kehidupan kerana dapat memberi maklumat baru. Oleh itu, keunikan teka-teki boleh digunakan untuk mengajukan soalan yang mengingatkan kita kepada Allah SWT dan mempunyai unsur yang baik.

Enam teka-teki yang ditanya oleh Imam Al-Ghazali kepada anak muridnya boleh juga dijadikan soalan untuk kita menjawabnya.

PERTAMA
Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, orang tua, guru, kawan dan sahabat.

Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan paling tepat sekali bagi soalan itu ialah mati.
 

KEDUA
 
 Kedua, beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, negara China, bulan, matahari dan bintang. Imam Al-Ghazali menegaskan, semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah masa lalu.

Walau dengan apa cara sekali pun, kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh itu, kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh supaya tidak sesal di kemudian hari nanti.








KETIGA

Ketiga, beliau bertanya apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab, gunung, bumi, matahari. Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah nafsu Kita mesti berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam.




KEEMPAT

Keempat, Imam Al-Ghazali bertanya mengenai benda paling berat di dunia lalu muridnya menjawab, besi dan gajah. Imam Al-Ghazali mengatakan, semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah menanggung amanah. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah di bumi.

Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian serta kedegilan mereka mengikut lunas yang telah ditetapkan syarak. 


KELIMA

Soalan kelima, Imam Al-Ghazali bertanyakan apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab, kapas, angin, debu dan awan. Imam Al-Ghazali menyatakan semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah meninggalkan solat kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.  




KEENAM

Keenam, beliau bertanya benda yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab, pedang. Imam Al-Ghazali mengatakan jawapan itu betul, tetapi yang paling betul ialah lidah manusia.
Disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan serta perpecahan. 



TEKA-TEKI PENUH BERMAKNA....
  
Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment